Terma Penggunaan

1) Pengenalan Dan Penerimaan

  • Portal Industri Pertahanan (“PIP”) adalah sebuah platform digital yang dimiliki, dikendalikan, dan ditadbir oleh Kementerian Pertahanan Malaysia (“MINDEF”) bagi tujuan penyelarasan, pengurusan maklumat, dan pemudah cara kerjasama dalam ekosistem industri pertahanan negara.

  • Dengan mengakses, mendaftar, atau menggunakan PIP (termasuk menekan butang “Hantar”, “Simpan”, atau “Daftar”), pengguna mengesahkan bahawa pengguna telah membaca, memahami, dan bersetuju untuk terikat sepenuhnya dengan Terma Penggunaan ini.

  • Sekiranya pengguna tidak bersetuju dengan mana-mana peruntukan Terma Penggunaan ini, pengguna hendaklah serta-merta menghentikan akses dan penggunaan PIP.

2) Definisi Dan Tafsiran

Melainkan dinyatakan sebaliknya, istilah berikut membawa maksud seperti berikut:

  • “PIP”: Merujuk kepada sistem Portal Industri Pertahanan.
  • “MINDEF”: Merujuk kepada Kementerian Pertahanan Malaysia.
  • “Pengguna”: Mana-mana individu, organisasi, agensi, atau entiti yang mengakses PIP.
  • “Maklumat Sulit”: Merujuk kepada sebarang maklumat yang dilindungi di bawah undang-undang (termasuk Akta Rahsia Rasmi 1972), data teknikal, rahsia perdagangan, dan maklumat sensitif organisasi yang tidak didedahkan kepada umum.
  • “Cadangan ICP/R&D”: Merujuk kepada kertas cadangan, data teknikal, dan dokumen sokongan yang dimuat naik bagi tujuan Program Kolaborasi Industri atau Penyelidikan & Pembangunan.

3) Tujuan Dan Skop Platform

PIP diwujudkan bagi menyokong penyelarasan Program Kolaborasi Industri (ICP), pengurusan cadangan R&D, dan penyediaan direktori keupayaan industri pertahanan.

Penafian Penting: PIP tidak boleh ditafsirkan sebagai:

  • Sistem perolehan rasmi atau tawaran tender kerajaan;
  • Jaminan kelulusan, pembiayaan, atau pelaksanaan mana-mana projek;
  • Pengiktirafan rasmi (endorsement) ke atas mana-mana produk atau perkhidmatan oleh Kerajaan Malaysia.

4) Kelayakan Dan Pendaftaran

  • Akses kepada PIP adalah terhad kepada entiti yang sah berdaftar (contohnya dengan SSM atau ROS) dan memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan oleh MINDEF.

  • Semua permohonan pendaftaran adalah tertakluk kepada proses saringan keselamatan dan kelulusan oleh MINDEF (termasuk Bahagian Industri Pertahanan dan STRIDE). MINDEF berhak menolak pendaftaran tanpa perlu memberikan alasan.

5) Kewajipan Dan Jaminan Pengguna

  • Pengguna menjamin bahawa mereka mempunyai kuasa yang sah untuk bertindak bagi pihak organisasi yang didaftarkan (contohnya sebagai Pengarah atau Pegawai yang Diberi Kuasa).

  • Pengguna hendaklah memastikan semua maklumat yang dikemukakan (termasuk maklumat Lembaga Pengarah, pegangan saham, dan status Bumiputera) adalah benar, tepat, lengkap, dan terkini.

  • Pengguna bertanggungjawab sepenuhnya ke atas kerahsiaan ID pengguna dan kata laluan. Sebarang aktiviti yang berlaku di bawah akaun pengguna adalah tanggungjawab pengguna tersebut.

6) Keselamatan Dan Akta Rahsia Rasmi (Penting)

  • Pengguna mengakui bahawa PIP mungkin mengandungi maklumat atau dokumen yang diklasifikasikan sebagai RAHSIA atau SULIT.

  • Amaran Akta Rahsia Rasmi 1972: Sebarang penyebaran, pendedahan, penyalinan, atau penyalahgunaan maklumat terperingkat yang diperoleh daripada PIP tanpa kebenaran bertulis adalah satu kesalahan jenayah dan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 [Akta 88].

  • Pengguna dilarang memuat naik sebarang dokumen berstatus "RAHSIA BESAR" atau "RAHSIA" ke dalam platform ini melainkan melalui saluran yang telah disulitkan (encrypted) atau diarahkan secara khusus oleh pentadbir sistem.

7) Penggunaan Yang Dilarang

Pengguna dilarang menggunakan PIP untuk:

  • Mengemukakan maklumat palsu, mengelirukan, atau menyamar sebagai pihak lain;
  • Mencuba untuk memintas ciri keselamatan sistem (hacking) atau menyebarkan perisian hasad (malware);
  • Mengumpul data pengguna lain (data scraping) untuk tujuan komersial tanpa kebenaran.

8) Harta Intelek Dan Data Cadangan

  • Hak harta intelek bagi Cadangan ICP dan R&D yang dikemukakan kekal menjadi milik Pengguna, tertakluk kepada undang-undang Malaysia.

  • Walau bagaimanapun, dengan mengemukakan cadangan melalui PIP, Pengguna memberikan MINDEF lesen bukan-eksklusif dan bebas royalti untuk menggunakan, menyalin, dan menganalisis metadata serta kandungan cadangan tersebut bagi tujuan penilaian dalaman, perancangan dasar, dan pemetaan keupayaan industri.

  • Metadata berkaitan Cadangan ICP dan R&D dianggap sebagai Maklumat Sulit Komersial dan bukan Data Peribadi, dan akan diuruskan mengikut protokol keselamatan data MINDEF.

9) Penafian Jaminan Dan Had Liabiliti

  • PIP disediakan atas asas “seadanya” (as is) dan “sebagaimana tersedia” (as available).

  • MINDEF tidak menjamin bahawa akses kepada PIP tidak akan terganggu atau bebas daripada ralat.

  • Force Majeure: MINDEF tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kegagalan sistem, kehilangan data, atau gangguan perkhidmatan yang disebabkan oleh keadaan di luar kawalan munasabah MINDEF, termasuk tetapi tidak terhad kepada bencana alam, serangan siber, gangguan bekalan elektrik, atau kegagalan penyedia perkhidmatan internet.

10) Penggantungan Dan Penamatan Akaun

  • MINDEF berhak menggantung atau menamatkan akses pengguna serta-merta sekiranya berlaku pelanggaran Terma Penggunaan ini atau atas sebab keselamatan negara.

  • Polisi Akaun Tidak Aktif: MINDEF berhak untuk menyahaktifkan atau memadam akaun pengguna yang tidak aktif (tiada log masuk) bagi tempoh dua belas (12) bulan berturut-turut untuk memastikan integriti dan ketepatan data direktori industri.

11) Pindaan Terma

MINDEF berhak meminda Terma Penggunaan ini dari semasa ke semasa. Penggunaan berterusan PIP selepas pindaan dibuat dianggap sebagai penerimaan terhadap terma yang telah dipinda.

12) Undang-Undang Dan Bidang Kuasa

Terma Penggunaan ini ditadbir oleh undang-undang Malaysia. Sebarang pertikaian hendaklah dirujuk kepada bidang kuasa eksklusif mahkamah di Malaysia.

13) Fasal Bahasa

Terma Penggunaan ini mungkin disediakan dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris. Sekiranya terdapat sebarang percanggahan atau ketidakkonsistenan antara kedua-dua versi, versi Bahasa Melayu hendaklah diguna pakai.

Sertai Industri Pertahanan Negara,

Bina Masa Depan Kita.

Mengenai Portal Industri Pertahanan

Mengenai
Portal
Industri Pertahanan

Portal Industri Pertahanan (PIP) ialah platform digital bersepadu untuk pengurusan maklumat dan kolaborasi ekosistem industri pertahanan negara.

1

Apakah Itu Portal Industri Pertahanan

Portal Industri Pertahanan (PIP) adalah platform digital bersepadu yang berfungsi sebagai hab pengurusan maklumat berkaitan ekosistem industri pertahanan negara.

Platform ini menyatukan agensi kerajaan, pemain industri, institusi penyelidikan dan akademia untuk memacu kerjasama strategik bagi meningkatkan keupayaan teknologi dan pembangunan industri pertahanan Malaysia.

Portal ini juga memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk memanfaatkan inisiatif seperti Program Kolaborasi Industri (ICP), Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), inovasi dan teknologi.

2

Mengapa Portal Industri Pertahanan Dibangunkan?

PIP dibangunkan untuk menyatukan pihak-pihak yang beroperasi secara berasingan (agensi kerajaan, pemain industri, institusi penyelidikan dan akademia) ke dalam satu platform.

  • Menyelaraskan kerjasama semua pihak dan memastikan usaha selari dengan keperluan industri pertahanan negara.
  • Memudahkan perkongsian pengetahuan dan teknologi dari OEM, institusi penyelidikan dan akademia kepada industri tempatan.
  • Membantu Program Kolaborasi Industri (ICP) bagi meningkatkan keupayaan dan kapasiti teknologi pertahanan tempatan.
  • Menyokong penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang relevan dengan keperluan strategik dan operasi pertahanan.
  • Merangsang pertumbuhan industri pertahanan tempatan yang lebih berdaya saing.
  • Menyediakan repositori teknologi pertahanan dan kepakaran negara.
3

Siapa yang boleh mendaftar kepada Portal sebagai rakan industri pertahanan?

Agensi kerajaan yang berkaitan, pemain industri (tempatan dan luar negara), institusi penyelidikan dan akademia.

4

Bagaimana untuk mendaftar dan mengakses Portal IP?

Kaedah pendaftaran dan akses ke PIP adalah seperti berikut:

  1. Langkah 1 — Daftar
    Daftar secara dalam talian.
  2. Langkah 2 — Proses Semakan
    Permohonan akan disemak.
  3. Langkah 3 — Isi Cadangan
    Isi cadangan projek ICP dan R&D.
5

Apakah bidang teknologi yang diterima di Portal IP?

Semua bidang teknologi berkaitan pertahanan.

6

Apakah Manfaat portal kepada rakan industri?

  • Integrasi dan Kecekapan Ekosistem — Menyatukan rantaian nilai industri pertahanan.
  • Peningkatan Kapasiti Industri Tempatan — Pemindahan teknologi tersusun.
  • Penyelidikan, Pembangunan, Inovasi — Penyelesaian bersasar.
  • Ke arah Kemampanan Industri — Ekosistem berdaya saing.
  • Keterlihatan Keupayaan Industri — Peluang eksport dan kolaborasi.
7

Apakah kemudahan yang ditawarkan oleh Portal IP?

  • Pendaftaran kendiri (Self Registration).
  • Cadangan projek ICP dan R&D.
  • Direktori industri pertahanan.